Monday, April 26

Kelahiran

Lama sudah tak mengupdate kisah kat sini. Sejak dari entry terakhir sehingga kini saya dalam tempoh berpantang..

5/4/2010

Menunggu ketibaan mertua dari Ampang. Malam harinya sakit yang dinantikan mula menjelma, tapi mungkin masih diperingkat awal. Kesakitan yang dirasakan hadir setiap setengah jam sekali. Tidur malam ini mula terganggu.

6/4/2010

Kesakitan hadir setiap 15 minit sekali. Menunggu suami yang keluar awal pagi untuk urusan dialisis abah di Batang Kali. Membuat keputusan untuk ke hospital apabila sakit yang dirasakan dalam tempoh 5 minit sekali.


Tiba di hospital dan hanya dibenarkan membawa sehelai kain batik. Selepas selesai pendaftaran, saya dibawa masuk untuk pemeriksaan tanpa ditemani suami. Pada saat ini, disahkan bahawa pintu rahim baru terbuka 1cm. Ditempatkan di wad sementara yang hanya memuatkan 2 orang sebilik bagi menanti pemeriksaan Dr yang selanjutnya pada jam 5 ptg.

Jam 5 ptg, Dr sahkan bahawa pintu rahim telah terbuka 3cm, saya terpaksa menunggu untuk 10cm bagi proses kelahiran ini. Yang tidak tertanggung saat ini adalah kesakitan yang datang dan pergi.

Melalui waktu malam di wad dengan suami di ruang menunggu. Hanya berbalas mesej yang berkisar tentang kesakitan yang ditanggung. Tidak tahan, akhirnya meminta jururawat memberikan bius tahan sakit. Akhirnya terlena namun masih tetap merasa sakit.

7/4/2010

Jam 6 pg, setelah diperiksa pintu rahim masih di tahap yang sama iaitu 3 cm. Akhirnya, jururawat memberi ubat agar dapat membuang air bagi membantu proses kelahiran kelak.
Terus dibawa ke labour room pada jam 7.30 pg, masih sempat membalas sms suami yang setia menanti di luar. Menanti saat kelahiran di atas katil dengan ditemani pelatih2 yang akan bersama sama melalui saat paling menggerunkan. Jam 8.00 pg Dr telah memecahkan air ketuban yang dirasakan mengalir laju keluar. Sakit yang dirasakan sebelum ini rupanya hanyalah sedikit jika dibandingkan dengan kesakitan yang dilalui saat ketuban pecah. Mula bertarung demi satu nyawa yang ada di dalam rahim bermula jam 10.00 pg. Akhirnya setelah dipanggil, muncul suami tatkala memerlukan sedikit sokongan terakhir. Jam 12.50 tgh lahirlah bayi perempuan menandakan tamatnya penantian kami berdua selama ini.

Ucapan terima kasih yang tidak terhingga dirakamkan istimewa buat Syed Nasir yang tidak jemu menjaga dan setia disisi dari saat disahkan mengandung sehingga tiba waktu kelahiran ini. Terima kasih juga buat kedua ayahanda bonda kerana banyak meluangkan masa menjaga makan minum dan buat semua yang mendoakan kesihatan dan kesejahteraan ibu dan anak ini.